KESAN KEDATANGAN
Kesan 1
Pengaruh dalam Bidang Politik
Dari segi politik, terdapat perubahan yang jelas apabila wujudnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang berpunca dari gerakan dakwah Islamiah oleh mubaligh-mubaligh dan ulama-ulama ke rantau ini. Di Nusantara terdapat masyarakat Islam yang dikenali sebagai Ta-Shih pada tahun 674 M. Ini adalah suatu panggilan kepada orang-orang Arab atau Farsi Islam di rantau ini yang terdapat di pantai barat Sumatera dan Jawa.
Masyarakat Ta-Shih adalah yang dikaitkan dengan sebutan Che-Po (Jawa) yang menemui Ratu Siam dari Kerajaan Ho-Ling (Kalingga) yang terletak di Jawa Timur. Jadi, pada abad ke-7 sudah wujud penempatan ini dan dikatankan pengaruh Islam telah menjalar dalam pemerintahan Srivijaya.
Dengan pengislaman Raja Jambi yang pertama di Nusantara telah mewujudkan kerajaan yang bertukar corak menjadi kerajaan Islam yang terkenal dengan “Kerajaan Sribuza Islam”. Kerajan ini tidak panjang kerana telah diserang oleh Dinasti T’ang.
Pada abad ke-9 M telah muncul kerajaan Islam Perlak. Raja pertamanya ialah Sultan Maulana ‘Abdul Aziz Shah. Kemudian pada abad ke-11 M wujud pula kerajaan Samudera-Pasai. Di Semenanjung Tanah Melayu, lahir sebuah keraajn yang terkenal dengan “Kedah Dar al-Aman” pada kurun ke-12 M. Rajanya telah memeluk Islam dan menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah. Baginda telah melantik ulama sebagai guru dan penasihat kerajaan.
Pada kurun ke-15 muncul pula kerajaan Melaka. Rajanya yang pertama dikatakan telah memeluk Islam pada tahun 1414M. Kemudian muncul kerajaan Acheh dan Kerajaan Johor Riau yang diperintah oleh orang-orang Bugis.
Walaupun terdapat beberapa fakta sejarah yang menyatakan yang tergolong dalam zaman kuno di Nusantara ialah zaman kerajaan Hindu-Buddha manakala zaman moden ialah kedatangan penjajahan barat. Sebenarnya kedatangan penjajah baratdi rantau ini bukanlah untuk menghadapi kekuasaan Hindu tetapi bagi menghadapi kekuasaan Islam. Dengan itu, jelaslah bahawa Islam tiba di rantau ini sebelum tibanya kuasa barat. Menurut Harrison, kedatangan barat ke Nusantara bukanlah semata-mata untuk memonopoli perdagangan dan penguasaan politik bahkan penguasaan agama.
Bagi menjamin keselamatan negara dan agama, kerajaan-kerajaan Islam terpaksa menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan kuasa-kuasa Islam ketika itu seperti kerajaan Turki dan India. Kerajaan Acheh misalnya mempunyai jabatan yang mempunyai tugas-tugas khas terutama dalam urursan luar negeri. Menerusi hubungan tersebut, Acheh mendapat bekalan senjata dan penasihat-penasihat tentera.
Sebagai negara yang menerima ajaran Islam, unsur-unsur politik Islam yang berbentuk sejagat, saksama, adil dan bertanggungjawab telah mempengaruhi masyarakat Nusantara. Konsep pendewaan kepada raja-raja sehingga tahap menyembah telah bertukar kepada memuliakan seseorang yang memerintah. Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti Zaman Hindu.
Oleh kerana raja-raja dan pembesar-pembesar terdiri daripada orang Islam , maka Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan seperti kemudahan penyebaran, pentadbiran dan pelaksanaan hukum-hukum.
Rata-rata struktur politik kerajaan Islam di Nusantara menggembleng tenaga seluruh rakyat bagi memperjuangkan dan mempertahan agama Islam, negara dan umatnya. Justeru, semangat jihad untuk berbakti kepada Allah sama ada dalam bentuk fizikal dan mental merupakan sebahagian kepada kehidupan mereka
KESAN 2
Pengaruh dalam Bidang Sosial
Dari segi aspek sosial, bahawa kedatangan Islam walaupun tidak secara total, berlaku juga beberapa perubahan dan pembaharuan. Wertheim berpendapat, kedatangan Islam telah menjadikan golongan bawahan mulai berasa diri mereka dihargai seperti golongan lain. Nilai sosialnya tidak sama dengan ajaran hindu yang mempunyai berbagai-bagai kasta dan kedudukan. Walaupun begitu, struktur sosialnya tidak banyak menerima perubahan kerana organisasi sosial seperti negara kota dan corak pemerintahan secara feudal masih kekal.
Perubahan sosial juga berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat di Nusantara. Semua ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme yang menekankan konsep kesamarataan di sisi Allah. Berpandukan dengan konsep rasionalisme ini masyarakat Nusantara dengan sendirinya menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman animisme.
Islam juga menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun Iman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Sam’iyyat di samping hukum-hukum syarak. Unsur-unsur ini amat mempengaruhi pemikiran mereka. Oleh itu, segala tindak-tanduk mereka bukan sahaja didokongi untuk kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredaan Allah. Justeru, segala amalan sama ada dari aspek sosial, ekonomi dan politik adalah berdasarkan pemikiran dan petunjuk Islam.
KESAN 3
Pengaruh dalam Bidang Kesenian
Dalam bidang kesenian pula, pengaruh Islam dapat dikesan pada batu-batu nisan, binaan-binaan, masjid-masjid dan perhiasan seperti seni khat dan sebagainya. Secara umum, pada makam atau batu-batu nisan tersebut terdapat tulisan-tulisan dan kalimah Arab dan potongan ayat-ayat Al Quran serta ajaran-ajaran Islam juga angka-angka Arab.
Selain daripada batu-batu nisan, bentuk masjid juga merupakan karya dan seni bina Islam yang terpenting di Nusantara. Dari segi corak dan polanya, bangunan masjid yang menunjukkan kronologi dari abad ke14 hingga ke-18 M masih mempertahankan kelanjutan struktur tradisional. Walau bagaimanapun, masjid berfungsi sebagai tempat-tempat ibadat tentulah pengaruh Islam lebih tertonjol dan banyak kelihatan. Tiap-tiap bahagian bangunannya memebri gambaran kosmologi atau gambaran alam semesta yang setiap bahagian tersebut mempunyai pengertian dan peranan.